U Click Me...I Click U Back

Friday, January 28, 2011

Bebas tuduhan bunuh bayi dalam tandas

PULAU PINANG 25 Jan. - Seorang pekerja kilang berusia 21 tahun menangis teresak-esak apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membebaskan Nurul Syuhada Shamsudin tanpa dipanggil membela diri selepas beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas wanita tersebut.

''Terima kasih, terima kasih, terima kasih,'' kata Nurul Syuhada yang berjubah putih dalam keadaan terpaku selepas hakim tersebut selesai membacakan penghakimannya di akhir kes pendakwaan.

Sebaik sahaja garinya dibuka oleh polis mahkamah, Nurul Syuhada terus berlari memeluk ibunya, Misbah Rabudin, 44, dan ayahnya, Shamsudin Yahya, 50, yang berada di galeri awam.

Suasana mahkamah bertambah hiba apabila ketiga-tiga mereka saling berpelukan sambil Misbah dan Shamsudin tidak berhenti-henti mencium anaknya itu.

Perlakuan mereka itu menyebabkan beberapa ahli keluarga yang lain serta semua yang hadir turut mengalirkan air mata.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Zamani berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan tertuduh telah membunuh bayi yang baru dilahirkannya di dalam tandas kilang tempatnya bekerja, dua tahun lalu.

Ini kerana, menurut beliau, keterangan yang ada tidak dapat memberi penjelasan dan bukti mengenai punca kematian bayi itu yang sebenar sama ada akibat faktor alam seperti kurang oksigen, lemas atau pendarahan.

Katanya, saksi kesembilan pendakwaan iaitu pakar patologi sendiri juga tidak dapat mengesahkan punca sebenar yang telah mengakibatkan bayi itu mati.

''Untuk membuktikan elemen bunuh, bayi itu mesti sudah sempurna dilahirkan iaitu mampu bernafas sendiri tanpa perlu bantuan ibunya serta berlaku pembunuhan dengan niat dan pengetahuan oleh tertuduh.

''Namun dalam kes ini keadaan bayi tidak dapat dipastikan sama ada dia lahir dalam keadaan hidup dan kemudiannya meninggal dunia atau memang sudah meninggal dunia (ketika dalam proses kelahiran),'' katanya.

Menurut Hakim Zamani lagi, keterangan saksi-saksi pendakwaan juga tidak langsung dapat memberi penjelasan mengenai keadaan bayi yang sebenar sama ada kelahirannya telah sempurna atau sebaliknya.

''Justeru, apabila berlaku ketidakpastian seperti ini, mengikut peruntukan undang-undang negara ia memihak dan memberi kelebihan kepada tertuduh.

''Oleh itu, saya perintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,'' katanya.

Mengikut pertuduhan, Nurul Syuhada didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya di antara pukul 3 pagi dan 7 pagi, 31 Disember 2009 di dalam tandas perempuan di kilang Jabil Circuit yang terletak di kawasan Zon Perindustrian Bebas, Bayan Lepas di sini.

Mayat bayi tersebut dijumpai tersangkut dalam lubang tandas kira-kira pukul 2.15 petang keesokkan harinya oleh seorang tukang cuci selepas menerima aduan tandas tersumbat.

Pertuduhan terhadapnya yang berasal dari Parit Buntar, Perak dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan L. Umma Devi manakala tertuduh diwakili peguam bela, E. Gnasegaran.

Akhbar sebelum ini melaporkan tukang cuci tersebut memaklumkan penemuan mayat bayi itu kepada pengurusan kilang yang kemudian membuat laporan polis.

Bedah siasat mayat bayi berkenaan dijalankan di Hospital Balik Pulau.

p/s : aku pelikla camne senang2 pompuan ni terlepas...bukan apa..terang2 baby tu tersangkut dalam lubang tandas..takkan dia tak de niat nak membunuh baby tuh...KOMPIUS AKU!!

3 comments:

Abhamz said... Reply Comment

salam, syukur ke hadrat Allah SWT...hanyalah Allah yang lebih tahu...

zubir othman said... Reply Comment

hanya Allah yang lebih Mengetahui....andai dia bersalah...atau sebliknya...hnya Allah yang membalasnya

Salam new blogger

nice blog...hehehe

jom singgah blog saya

http://zubir5588.blogspot.com
\segala komen dan cadangan adalah amat dialu-alukan...tq

Mrs.Qarlista said... Reply Comment

pelik jugak..undang2 dunia..tak cukup bukti boleh terlepas..tapi kalau betul die bersalah, takkan terlepas undang2 allah kan..