"Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?" Anda
terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan
ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada
di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat
pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
"Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?"
Seorang pelajar menjawab, "kerana mereka jarang melihat orang solat."
Yang lain menjawab, "mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam."
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami
Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di
Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih
menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan
persekitaran yang terlalu mencabar.
"Ada sebab lain?" tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.
"Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat
efisien. Majoritinya tidak membuang masa..." kata saya meluahkan hasil
pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api
kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di
bahagian atas syiling kereta api.
"Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang
kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah
membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa.
Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di
kalangan orang kita di Malaysia? "
"Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa," jawab seorang pelajar secara spontan.
Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak
membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka
yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah
sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi
kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti
yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat
membazir masa.
"Apa yang saudara jawab?" tanya saya menduga. Gembira melihat mereka
tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam
hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
"Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu."
"Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu."
"Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?"
"Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri," jawab saya.
"Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana
kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif
mereka?" tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik
(seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.
"Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat
teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa
menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin
kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat "maintanance" kapal
terbang, kereta api elektrik ("bullet train") dan kereta kamu..." terang
saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa
musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui
regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.
"Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau
jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang
menciptanya?"
"Tentulah manusia," jawab mereka hampir serentak.
"Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa
selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak
selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
"Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?"
"Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah
cara kami "maintenance" diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya
menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa
menyelenggarakan diri kamu sendiri."
"Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?"
"Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan
hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku
dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan
menyerahkan kembali segala keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat
yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan
kepada Allah!"
"Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal," sampuk seorang pelajar di barisan belakang.
"Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi," tambah yang lain.
"Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!"
"Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang
beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat
penting sekali dalam kehidupan seorang manusia," ujar saya sebagai satu
kesimpulan.
SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.
"Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada
surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu
hal masing-masing."
"Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam,
wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan
soal peribadi," tekan saya.
"Mengapa?"
"Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran."
"Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu
juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu
mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita
berniaga..."
"Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran
datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja," tusuk saya
perlahan.
"Kemungkaran dalam kerja? Apa tu?"
"Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan,
umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi.
Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia
berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan
menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan."
"Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan."
"Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah
kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam
apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan."
"Kenapa?" tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia
itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat
dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial
untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah
penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
"Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah.
Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati
sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat."
"Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat
pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi
kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita," katanya
berterus-terang.
"Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh
kakitangan syarikat ini jadi baik?
Solat sangat penting untuk membentuk
manusia jadi baik."
Dia merenung muka saya lalu berkata,"tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?"
"Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?" balas saya.
Setelah melihat dia diam, saya menambah, "sebenarnya kita perlu
kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran
profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan
secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah
seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?"
"Kos... kos dan peruntukan latihan akan bertambah," balasnya.
Kali ini saya pula terdiam.
"Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar.
Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu
berkira?"
"Itu soal pihak atasan..." kilasnya.
"Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan
bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang
bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya
oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum
dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam
mereka."
"Baik tu baik. Tetapi..."
"Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini,
saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap
negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah
kronik.
Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi.
Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot.
Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang
bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,"
pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, "insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu."
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah
berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan
hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam
adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh
orang bukan Islam.... tetapi oleh orang Islam sendiri.
Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah
tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan
ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!