U Click Me...I Click U Back

Friday, January 20, 2012

Tips Mengajar Anak Solat

Usaha mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Ibu bapa perlulah sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat menjadi darah daging anak-anak. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak masih kecil bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya.

Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya berbanding pencapaian-pencapaian lain di dalam hidup anak-anak. Kita mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat, bilakah masanya mereka akan mendoakan kita.

Di sini dikongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, moga bermanfaat!

Berdoa

Sesungguhnya doa itu senjata orang-orang mukmin, maka untuk mendapat anak yang sentiasa melaksanakan solat , jadikanlah doa-doa sebagai  kebiasaan kita. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :

 "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.."

Bacakan doa ini sentiasa dan biarkan mereka mendengarnya, berdoalah sejak mereka belum lahir sehinggalah mereka sudah dewasa. Moga-moga mereka akan terus istiqamah dengan solat sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Membiasakan anak-anak dengan solat

Umur 0-2 tahun
Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil

Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar"

umur 2-4 tahun
Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : "Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!" Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita.

Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya "Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat." Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. 

Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat

Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : "Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!"

Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

Jangan sesekali berkata kepada anak : "Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat." Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.

sumber : Artikel Iluvislam
 

2 comments:

deqlis said... Reply Comment

bagus tips nie.

pepun ibubapa pun kena solat jika nak anak solat:-)

Rina AVAIL a.k.a Cik Betty said... Reply Comment

thanx for sharing..sy pon dh lama terfikir nk buat entri psl ni..tp ikut cara sy sendirilah :)