Usaha mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan
dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Ibu bapa perlulah
sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat menjadi
darah daging anak-anak. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak
masih kecil bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya.
Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya
berbanding pencapaian-pencapaian lain di dalam hidup anak-anak. Kita
mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita
meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat, bilakah masanya mereka
akan mendoakan kita.
Di sini dikongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, moga bermanfaat!
Berdoa
Sesungguhnya doa itu senjata orang-orang mukmin, maka untuk mendapat
anak yang sentiasa melaksanakan solat , jadikanlah doa-doa sebagai
kebiasaan kita. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri
kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah
kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."
"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.."
Bacakan doa ini sentiasa dan biarkan mereka mendengarnya, berdoalah
sejak mereka belum lahir sehinggalah mereka sudah dewasa. Moga-moga
mereka akan terus istiqamah dengan solat sehinggalah ke akhir hayat
mereka.
Membiasakan anak-anak dengan solat
Umur 0-2 tahun
Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil
Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar"
umur 2-4 tahun
Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : "Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!" Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita.
Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk
anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya "Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat."
Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak
mengapa, senyum sahaja kepada mereka.
Ulangi perbuatan ini sehinggalah
mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak
mereka untuk solat
Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika
mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun.
Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi
bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat,
berikan kata penghargaan seperti : "Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!"
Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi
mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara
yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk
sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat,
Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh
andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis
sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis
mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan
lemah lembut.
Jangan sesekali berkata kepada anak : "Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat."
Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap
bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.
sumber : Artikel Iluvislam