KERTEH – Selera sebuah keluarga di Taman Indah Permai, Kampung Baru
Kerteh di sini, kelmarin untuk menjamah hidangan tengah hari terjejas
selepas telur yang direbus bertukar menjadi warna biru pada bahagian
putih telurnya, dipercayai telur tiruan.
Mohd Yusof Abdul Aziz, 48, yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga
(KRT) berkata, dua biji telur yang dimasak isterinya, Sharah Shahernie
Shafie juga mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
Katanya, telur yang telah direbus dikupas kulit dengan setiap biji
telur dibelah dua untuk ditumis, sebelum isterinya terkejut apabila
melihat bahagian putih pada telur terbabit bertukar menjadi warna biru
dan terdapat tompokan seperti dakwat biru di tengah-tengah bahagian
putih telur itu serta kuning telurnya juga berwarna agak pekat.
Seumur hidup, inilah pertama kali saya lihat putih telur berwarna
biru. Terkejut saya apabila melihat keadaan putih telur berubah warna
sebegini.
“Dua biji telur ini adalah antara 10 biji telur dalam satu bungkusan
kotak telur plastik, yang saya beli (malam Rabu lalu) di sebuah pasar
raya di Paka, Dungun. Tarikh luput telur yang tertera pada bungkusan
juga masih jauh dan ia masih boleh dimakan. Itu menyebabkan saya pelik,”
katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.
Sejurus melihat keanehan pada dua telur tersebut, Mohd Yusof segera
memeriksa lapan lagi telur yang tinggal dan mendapati salah sebiji
daripadanya berbentuk agak ganjil dengan saiznya lebih besar daripada
telur lain.
Menurutnya, pada ruang tengah kulit ayam tersebut licin seolah-olah
dilakukan penyambungan pada bahagian luaran kulit telur tersebut
manakala pada kotak plastik telur terbabit tertera telur berkenaan
dikeluarkan di Melaka.
“Kemungkinan juga telur tiruan dicampurkan bersama telur tulen bagi
mengelakkan ia disedari. Kalau dua telur tadi digoreng mungkin kami
sekeluarga tidak sedar akan keganjilan pada dua biji telur itu.
Mohd Yusof dan isteri serta anak-anak kemudiannya hanya makan nasi
berlaukkan kicap bagi mengalas perut kerana sudah hilang selera makan.
“Jadi saya sebagai pengguna merasa sangat dukacita dengan perkara ini
kerana jika benar ia telur tiruan ia boleh membahayakan nyawa pengguna.
“Pengguna lain juga perlu berhati-hati ketika membeli telur bagi
mengelakkan ditipu dan diharap pembekal juga tidak mementingkan
keuntungan sahaja,” katanya